BANGKOK, 20 APRIL – Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand pada Khamis dan Jumaat lepas mencatatkan hasil yang lebih besar dan tidak terhad kepada pengukuhan hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Bangkok.
Ia juga melakar perkembangan signifikan dalam usaha bersama yang strategik dan proaktif kedua-dua negara terhadap kestabilan dan kepentingan serantau.
Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Chaiwat Meesanthan berkata lawatan Anwar kali ini memberikan impak yang sangat positif kepada Thailand, khususnya mengenai isu kenaikan tarif Amerika Syarikat, keamanan di Myanmar, serta kestabilan serantau.
Antara yang turut menjadi fokus utama Anwar dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dalam pertemuan mereka ialah hubungan dua hala, kerjasama projek infrastruktur rentas sempadan khususnya di wilayah selatan Thailand.
“Ini boleh diterjemahkan sebagai pengiktirafan kepada hubungan istimewa kedua-dua negara serta peranan Thailand dalam ASEAN, menjadikan Bangkok sebagai pentas diplomasi serantau,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Chaiwat berkata Malaysia dan Thailand menunjukkan kesediaan untuk bertindak sebagai blok ASEAN, bukannya secara bersendirian, dalam usaha menangani isu kenaikan tarif.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kuasa rundingan ASEAN di peringkat antarabangsa, malah juga mempamerkan kepimpinan Anwar dalam merangka pendekatan ekonomi yang lebih berdaya tahan terhadap dasar perlindungan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata pertemuan Anwar dengan pemimpin Myanmar, termasuk rejim tentera dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), merupakan satu langkah signifikan dalam diplomasi ASEAN untuk mengembalikan keamanan di negara itu.
“Anwar menunjukkan komitmen terhadap pendekatan inklusif yang mampu memberi nafas baharu kepada proses damai di Myanmar, terutamanya dalam aspek pembukaan saluran bantuan kemanusiaan, pelanjutan tempoh gencatan senjata, dan usaha memupuk kepercayaan antara pihak yang bertelagah,” katanya.
Namun begitu, Chaiwat menegaskan kejayaan jangka panjang bergantung kepada kesediaan pihak-pihak di Myanmar untuk meneruskan dialog secara berterusan. – Bernama