Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr Vjosa Osmani-Sadriu dan First Genleman Prindon Sadriu mengadakan lawatan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Lawatan ke UBD merupakan sebahagian daripada lawatan negara selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam, dari 4 hingga 6 Mei.
Lawatan di UBD bermula di Dewan Persembahan, Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, di mana PYT Datin Laila Utama Dr Vjosa Osmani -Sadriu menyampaikan kuliah khas. Ketibaan Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman dialu-alukan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; serta Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Turut hadir pada acara berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli pengurusan kanan UBD serta para pelajar UBD.
Pada majlis berkenaan, PYT Datin Laila Utama menyampaikan kuliah bertajuk, The Development of Kosovo and Moving Forward to Achieve the Country’s Vision for a Better Kosovo, di mana beliau menyentuh mengenai sejarah Republik Kosovo, pembangunan dan perkembangan yang dicapai oleh negara berkenaan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada negara-negara sahabat termasuk Negara Brunei Darussalam atas sokongan, persahabatan dan kerjasama yang telah dihulurkan kepada Republik Kosovo.
Beliau menaruh harapan yang tinggi dengan lawatannya itu, ia akan mengukuhkan lagi hubungan erat di antara Kosovo dan Brunei serta membuka peluang bagi meneroka peluang-peluang kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang memberikan manfaat bersama.
Berikutan dengan kuliah berkenaan, Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman beredar ke Pusat Penyelidikan Botani UBD (BRC), di mana Puan Yang Terutama menanam pokok kenang-kenangan dengan nama saintifiknya, Hopea pentabervia Symington ex G.H.S.Wood.
Ia merupakan pokok kanopi tropika yang boleh membesar sehingga 35 meter tinggi, dengan diameter batang sehingga 1 meter. Ia biasanya mempunyai penopang di bahagian pangkal.
Pokok berkenaan berasal dari Borneo utara dan barat laut iaitu Brunei dan Malaysia serta ditemui terutamanya di hutan paya gambut dan hutan kerangas. Ia merupakan kayu keras yang boleh digunakan bagi kayu balak. Spesies itu diklasifikasikan sebagai ‘Terdedah’ dalam Senarai Merah IUCN kerana penebangan hutan untuk pertanian terutamanya ladang kelapa sawit, pembalakan untuk kayu dan kemerosotan habitat.
BRC telah berkenan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 3 Februari 2018, di mana ia ditubuhkan bersempena First International Symposium on Ethnobotany in the Quran and Hadith-An Exploration.
Pusat itu terletak di kawasan Kerangas asli dan menempatkan sebanyak kira-kira 200 spesies di rumah hijaunya serta 100 spesies lagi di sepanjang laluan alam semula jadi bersama-sama spesies yang sedang dikenal pasti.
BRC juga terlibat dalam penyelidikan terjemahan menumpukan kepada tumbuh-tumbuhan perubatan dengan hasil penemuan boleh memberikan manfaat kepada masyarakat meluas termasuk pakar herba, penyelidikan dan pelajar.
Lawatan diakhiri dengan menikmati jamuan ringan yang disajikan di kafe bersebelahan halaman BRC.