Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Negara Brunei Darussalam sekali lagi mengalu-alukan ketibaan kapal persiaran mewah, MS Riviera, yang menandakan lawatan keduanya ke negara ini pada 2025.
Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini, kapal berkenaan membawa lebih 1,213 penumpang dan 754 anak kapal yang tiba dari Singapura sebelum meneruskan pelayaran ke Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
Para tetamu dari MS Riviera berpeluang untuk melawat beberapa mercu tanda terkemuka negara termasuk Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan menelusuri sekitar Kampong Ayer.
Lawatan itu memberi peluang kepada para pelawat untuk mendalami sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi negara.
Sebelum meneruskan perjalanan mereka yang seterusnya, para pelawat di Pusat Kapal Pelayaran berpeluang meneroka pelbagai cenderamata asli Brunei yang ditawarkan oleh majlis perundingan kampung terpilih serta perusahaan tempatan lain dengan melibatkan pelbagai agensi dan syarikat, termasuk pejabat daerah.
Negara Brunei Darussalam meninggalkan kesan mendalam terhadap pelawat antarabangsa termasuklah seorang pelancong dari Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat iaitu Arlene Mirer yang menyatakan kekagumannya terhadap Istana Nurul Iman dan berhasrat untuk kembali melawat Brunei pada masa akan datang.
Sementara itu, Ben Morel dari Belgium terpesona dengan persekitaran negara yang mesra dan bersih, terutama ketika melawat masjid-masjid serta Istana Nurul Iman.