Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 MEI – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membantu pelajar memperoleh maklumat lebih baik dalam membimbing mereka membina kerjaya yang ideal pada masa depan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah menganjurkan lawatan untuk 43 pelajar Tahun 11 dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar (SM PJN PHAB) ke kampus itu kelmarin.
Kedatangan para pelajar dan guru-guru dialu-alukan oleh Pengurus Akademik kampus, Dayang Rosmah binti Salman, yang diiringi oleh Pegawai Perhubungan Awam, Dayang Sazrina binti Mazri serta ketua-ketua daripada pelbagai program yang ditawarkan di kampus.
Guru bimbingan SM PJN PHAB, Dayang Anis binti Bazilah berkata bahawa lawatan bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pembelajaran mereka di IBTE supaya mereka boleh merancang serta memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk pelbagai program yang ditawarkan oleh institut berkenaan.
Selain itu, lawatan juga menyediakan peluang kepada pelajar dan guru SM PJN PHAB berinteraksi bersama pendidik dan pelajar IBTE mengenai pembelajaran di kampus dan syarat-syarat kemasukan, terutamanya program yang ditawarkan di IBTE JBC kepada pelajar IGCSE dan pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya empat O Level.
Sehubungan itu, satu taklimat pendek telah disampaikan oleh pegawai perhubungan awam kampus, yang memperkenalkan pelbagai program yang ditawarkan serta prasyarat yang boleh didapati menerusi laman sesawang institut berkenaan. Seterusnya pelajar dan guru-guru mengadakan lawatan ke kemudahan yang ada di kampus, termasuk makmal dan bengkel seperti Akademi Simulator Maritim Brunei, Makmal Kejuruteraan Pelaksanaan dan Kawalan, Bengkel Kejuruteraan Perkhidmatan Pembinaan, Kilang Mini IBTE serta makmal komputer Sekolah Info-Komunikasi dan Teknologi (ICT).
Dengan berakhirnya acara tersebut, IBTE JBC berharap dapat menganjurkan lawatan seumpama itu dari semasa ke semasa untuk memberikan peluang dan pendedahan terutamanya kepada pelajar Tahun 11 dan guru kerjaya mengenai program yang ditawarkan di kesemua kampus IBTE.