Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 8 Ogos – Dengan matlamat untuk menerokai sektor pelancongan di Daerah Tutong, seramai 11 orang pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong, baru-baru ini.
Lawatan berkenaan juga telah disertai oleh dua orang guru pengawas sekolah berkenaan, Dayangku Malia binti Pengiran Haji Damit dan Awang Muhammad Rajuan bin Abdullah Luang.
Antara tujuan lawatan sehari itu adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam kursus pelancongan yang diambil oleh para pelajar tersebut lebih-lebih lagi dari segi sektor pelancongan yang terdapat di daerah ini.

Semasa lawatan itu, para pelajar turut mendengarkan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pengurus Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali yang antaranya menerangkan mengenai tempat-tempat menarik yang terdapat di Daerah Tutong serta pakej-pakej tarikan pelancongan yang ditawarkan oleh badan berkenaan.
Selain itu, para pelajar turut berpeluang melawat ruang pameran yang menempatkan peta besar sektor pelancongan di Daerah Tutong dan juga Galeri 1K1P.
Semasa ditemui, Dayangku Malia menjelaskan bahawa lawatan berkenaan sememangnya mampu mengembangkan idea dan pengetahuan para pelajar yang mengambil kursus pelancongan untuk membuka minda mereka bahawa Daerah Tutong juga mempunyai tempat-tempat menarik yang secara tidak langsung boleh membantu ekonomi negara dari segi sektor pelancongan.