Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan kerja perluas kerjasama profesional bidang pendidikan

    Oleh Syahmi Hassan –

    PUTRAJAYA, 15 FEB – Satu rombongan dari Kementerian Pendidikan yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia dari 12 Februari lalu hingga hari ini.

    Semasa lawatan tersebut, Dr Haji Azman telah membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha, KPT, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang pada 13 Februari, di mana kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan serta melahirkan rasa gembira atas kerjasama yang berterusan dan aktif dalam bidang pengajian tinggi.

    Turut hadir semasa sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha, KPT, Dato’ Dr Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Profesor Dr Azlinda binti Azman.

    Dr Haji Azman serta rombongan juga telah berpeluang mengadakan beberapa pertemuan bersama agensi-agensi di bawah KPT iaitu Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) bagi membincangkan hala tuju serta peluang kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan dan pelan strategik bagi pengajian tinggi.

    Antara objektif utama lawatan adalah untuk membincangkan mengenai draf memorandum persefahaman (MoU) antara Brunei Darussalam dan Malaysia bagi sektor pengajian tinggi, serta mengenal pasti inisiatif-inisiatif yang berpotensi untuk diterokai bagi kerjasama di antara kedua buah pihak.

    Selain itu, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam juga berhasrat untuk meluaskan kerjasama profesional dan memupuk perkongsian dengan pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan.

    Delegasi Kementerian Pendidikan juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat bersama Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin, bagi mengongsikan perkembangan lawatan kerja pihak Kementerian Pendidikan ke Malaysia dan seterusnya mengadakan sesi perjumpaan ramah mesra bersama penuntut-penuntut Majlis Perwakilan Pelajar Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai atas pendidikan di Malaysia.

    Turut menyertai rombongan semasa lawatan kerja tersebut ialah Pengarah Pengajian Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Sesi bergambar ramai bersama Dr Haji Azman semasa lawatan kerja ke Malaysia. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda