Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan kongsi amalan terbaik bidang akademik

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Delegasi Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Temburong yang terdiri daripada 12 orang pelajar Tahun 4 hingga 6 serta tiga orang guru sekolah berkenaan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Rivervale, Republik Singapura bermula 2 hingga 6 Julai.

    Lawatan lima hari yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Sekolah-sekolah merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Sehubungan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Ketua Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Salwati binti Haji Mohd Sulaiman.

    Turut hadir di lapangan terbang ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.

    Program itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara sekolah-sekolah dari kedua-dua negara menerusi pertukaran amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara menyeluruh.

    Aktiviti yang telah disusun merangkumi sesi pembelajaran bersama di bilik darjah, program penyesuaian suasana persekolahan, inisiatif kepimpinan pelajar, lawatan pembelajaran yang berkaitan dengan kelestarian di sekitar Singapura serta penglibatan dalam aktiviti kebudayaan setempat.

    Lawatan berkenaan diharap dapat memberikan pendedahan yang bermakna kepada para pelajar mengenai sistem pendidikan di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan semangat persahabatan, keharmonian, dan nilai-nilai sejagat merentasi sempadan negara.

    Delegasi turut diberi peluang untuk mengetengahkan kebudayaan Brunei Darussalam melalui persembahan serta sesi interaktif bersama pelajar-pelajar di Singapura.

    Hajah Salwati bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum delegasi berlepas ke Republik Singapura. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda