Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini telah menerima lawatan daripada 27 pegawai kanan kerajaan yang sedang menjalani kursus Program Pembangunan Eksekutif di Institut Perkhidmatan Awam (IPA).
Lawatan yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat itu turut dihadiri pegawai-pegawai penyelaras daripada IPA.
Lawatan itu antara lain bertujuan memberikan pendedahan dan mengongsikan maklumat mengenai Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat khususnya berkaitan dengan Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Terdahulu, program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Pemangku Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat mengalu-alukan lawatan sedemikian dan menekankan betapa pentingnya untuk khalayak ramai khususnya pegawai-pegawai kerajaan diberikan pendedahan tentang perjalanan MMN.
Program diteruskan dengan taklimat daripada Pejabat Peguam Negara mengenai Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang bertumpu kepada peruntukan-peruntukan berkaitan Majlis Mesyuarat Di-Raja, Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan MMN.
Ia diikuti dengan taklimat daripada Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat mengenai fungsi dan latar belakang Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat yang menumpukan kepada perkara-perkara berkaitan MMN terutama sekali berkaitan susunan kerja Persidangan MMN serta proses dan prosedur dalam meluluskan sebuah rang undang-undang semasa Persidangan MMN.
Sebelum mengakhiri program lawatan, para peserta diberikan peluang untuk membuat latihan simulasi bagi meluluskan rang undang-undang mengikut prosedur yang dipraktikkan semasa Persidangan MMN sebelum mengadakan lawatan ke Dewan Persidangan.
Lawatan sedemikian diharapkan dapat memberikan pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada para peserta mengenai perjalanan Persidangan MMN terutama sekali dalam meluluskan rang undang-undang perbekalan yang diadakan pada setiap tahun.


