Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 29 JAN – Dengan hasrat untuk mengeratkan silaturahim serta saling berkongsi pengetahuan budaya dan tradisi, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah menerima kunjungan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun, baru-baru ini.
Kunjungan berkenaan telah dialu-alukan oleh Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin dengan iringan alunan tausyeh yang dibawakan oleh ahli-ahli PKWE tersebut.
Semasa acara berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan yang berkonsepkan nilai-nilai kenegaraan dan budaya antara kedua-dua buah negara. Selain itu tayangan slaid mengenai tempat-tempat bersejarah di Republik Turki turut disampaikan oleh TYT Mehmet Suat Akgun.
Dalam pada itu, beliau juga turut berkesempatan mencuba alat muzik tradisional Brunei seperti gulintangan serta menikmati pelbagai makanan tradisi Melayu seperti ambuyat dan sayur lamiding serta kuih-muih tradisi.
Kunjungan tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian cenderamata kenang-kenangan dan sesi bergambar beramai. Turut hadir ialah, Ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Tutong, Awang Muhd Ronnie bin Abdullah Labau.
