Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 29 April – Pegawai dan anggota Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah mengadakan lawatan kerja dan menghadiri Majlis Kenaikan Fasa Residen Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik (BKN) di Kampung Kupang, Tutong, baru-baru ini.
Turut hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Awang Suhairi bin Haji Sukri.
Rombongan Daerah Polis Tutong telah dialu-alukan oleh Komandan Pusat Al-Islah, Awang Zainol Adi bin Haji Ajmain beserta pegawai kanan BKN.
Semasa lawatan, rombongan telah mendengarkan taklimat mengenai organisasi, tanggungjawab dan beberapa program pemulihan yang terdapat di Pusat Al-Islah dan seterusnya berpeluang melihat dengan lebih dekat lagi kemudahan dan aktiviti yang telah diungkayahkan di pusat berkenaan.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan jalinan silaturahim di antara PPDB dan juga warga BKN.
