BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiarong bersama rombongan penduduk kampung telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Ladang Nanas yang diusahakan oleh MPK Kampung Tungku dan Katok, kelmarin.
Rombongan diketuai oleh Ketua Kampung Kiarong Kawasan 2, Awang Shair bin Samsudin.
Lawatan tersebut diadakan bertujuan untuk melihat secara langsung potensi dan amalan terbaik dalam pengurusan pertanian, khususnya penanaman nanas secara komersial.
Lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Kampung Tungku dan Katok, Awang Ahmad Khairi bin Haji Hassan, yang mengalu-alukan kehadiran rombongan MPK Kiarong serta menekankan kepentingan kerjasama dan perkongsian ilmu antara kampung dalam usaha memajukan sektor pertanian di peringkat akar umbi.
Sesi diteruskan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi MPK Tungku dan Katok, Haji Salleh bin Mahmud, yang berkongsi sejarah ringkas penubuhan ladang nanas tersebut.
Beliau turut memberikan penjelasan mendalam mengenai aspek penjagaan tanaman, kaedah pencarian benih berkualiti, serta kos perbelanjaan yang diperlukan bagi setiap lot tanah yang diusahakan.
Rombongan kemudiannya dibawa melawat kawasan tanaman ladang nanas tersebut. Para peserta mengambil peluang untuk bertanya dan berbincang mengenai aspek teknikal serta cabaran dalam penanaman nanas, sambil menikmati suasana segar pagi Ahad di kawasan pertanian tersebut.
Lawatan tersebut merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam menggalakkan pertukaran pengetahuan dan memperkukuhkan hubungan antara MPK, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk meningkatkan tahap sara diri dalam sektor makanan.
Usaha tersebut juga mencerminkan komitmen komuniti kampung dalam menyahut seruan kerajaan ke arah pertanian mampan dan berdaya saing.
