Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Rombongan dari Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong telah mengadakan lawatan muzakarah ke Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang, kelmarin.
Rombongan tersebut diketuai oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin dan disertai oleh pegawai-pegawai masjid, ahli jawatankuasa takmir, kumpulan Muslimah, Kumpulan Belia Ibadurrahman, para jemaah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong serta beberapa orang wakil media tempatan.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh hubungan silaturahim dan perkongsian ilmu antara institusi masjid serta agensi kerajaan, di samping menjadi platform pertukaran pandangan dan pengalaman dalam usaha memakmurkan rumah Allah.
Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Ketua Imam Masjid SSBRPAD, Awang Nuzli bin Haji Jumat, yang juga pengerusi jawatankuasa takmir masjid.

Turut hadir mengalu-alukan kedatangan rombongan ialah para penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD serta ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, yang bersama-sama menyertai sesi muzakarah dan perbincangan ilmiah tersebut.
Awang Nuzli dalam ucapan alu-aluannya antara lain menggariskan, kunjungan seumpamanya amat bermakna dalam mengeratkan ukhuwah Islamiah, di samping menjadi medan pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman dan pengukuhan kerjasama antara masjid-masjid di seluruh negara.
Beliau turut menekankan pentingnya sinergi dan kolaborasi antara institusi keagamaan bagi memastikan masjid terus berperanan sebagai pusat ilmu, ibadah dan perpaduan ummah.
Semasa lawatan itu, rombongan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong berpeluang mendengarkan taklimat mengenai latar belakang dan aktiviti Masjid SSBRPAD yang telah disampaikan oleh Setiausaha Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD, Haji Muhammad Yussuf bin POKIDDP Haji Musa.
Beliau antara lain menerangkan tentang peranan aktif masjid dalam mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran dan pengajian ilmu Islam, serta pelaksanaan pelbagai program dakwah dan kemasyarakatan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Rombongan turut berpeluang meninjau hiasan dalaman masjid, termasuk seni bina, reka bentuk mihrab dan ruang solat utama yang menjadi simbol keindahan serta keagungan rumah Allah.

Semasa lawatan itu, rombongan turut menunaikan solat Fardu Zohor berjemaah bersama para jemaah tempatan, sekali gus memperkukuh hubungan spiritual dan ukhuwah Islamiah antara kedua-dua pihak.
Dengan adanya muzakarah itu, ia diharap menjadi pemangkin kepada hubungan strategik antara Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong dan Masjid SSBRPAD, seterusnya membuka ruang kepada pelaksanaan program bersama seperti tadabbur, kuliah ilmiah, pembangunan komuniti Islam dan program belia berasaskan masjid.

