Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Kementerian Pertahanan telah menerima lawatan rasmi daripada Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, yang sedang berada di Negara Brunei Darussalam dari 8 Julai hingga hari ini.
Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan, TYT Dato’ Seri Mohamed Khaled telah disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan menerima tabik hormat serta memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
TYT Dato’ Seri Mohamed Khaled kemudiannya mengadakan kunjungan muhibah kepada Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.
Semasa kunjungan berkenaan, kedua-dua pihak menyatakan rasa puas hati dengan tahap hubungan pertahanan dan ketenteraan yang kukuh dan terus berkembang di antara kedua-dua buah negara, mengakui kepentingan untuk meneruskan kerjasama yang ada serta di samping berbincang mengenai keamanan dan keselamatan serantau dan global.
Lawatan rasmi TYT Dato’ Seri Mohamed Khaled ke Negara Brunei Darussalam merupakan lawatan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan Malaysia pada Disember 2023 yang lalu.



