Tuesday, April 8, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan muzium jadi terapi pemulihan

    Dunia membuat awda murung? Rasa letih bekerja? Perlukan sesuatu tambahan untuk melawan penyakit atau bersedia menghadapi pembedahan?

    Bandar Neuchatel di Switzerland menawarkan satu pilihan rawatan perubatan yang unik kepada penduduknya: Dedahkan diri kepada seni dan dapatkan surat doktor untuk melakukannya secara percuma.

    Di bawah projek perintis selama dua tahun ini, pihak berkuasa tempatan dan serantau menanggung kos ‘preskripsi muzium’ yang diberikan oleh doktor kepada pesakit yang dipercayai boleh mendapat manfaat daripada lawatan ke mana-mana daripada empat muzium di bandar itu sebagai sebahagian daripada rawatan mereka.

    Projek ini berpandukan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019 yang mendapati bahawa seni boleh meningkatkan kesihatan mental, mengurangkan kesan trauma dan menurunkan risiko kemerosotan kognitif, kelemahan fizikal dan ‘kematian pramatang’, antara manfaat-manfaat lain.

    Seni boleh membantu menenangkan minda seumpama ubat pencegahan dan lawatan ke muzium juga memerlukan seseorang untuk bangun dan keluar rumah serta melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan dan berdiri dalam jangka masa yang lama.

    Lawatan ke muzium kini menjadi sebahagian daripada preskripsi doktor di Bandar Neuchatel, Switzerland. – Freepik

    Ahli majlis Neuchatel, Julie Courcier Delafontaine, berkata krisis COVID-19 turut memainkan peranan dalam kelahiran program ini.

    “Apabila tapak budaya ditutup (semasa perintah berkurung akibat COVID), orang ramai sedar betapa pentingnya tempat-tempat itu untuk membuatkan kita rasa lebih baik.”

    Beliau berkata setakat ini kira-kira 500 preskripsi telah diedarkan kepada doktor di sekitar bandar tersebut dan kos program ini adalah ‘sangat sedikit’.

    Sebanyak 10,000 franc Swiss telah diperuntukkan untuknya.

    Jika berjaya, pegawai tempatan mungkin akan mengembangkan program ini kepada aktiviti seni lain seperti teater atau tarian, kata Delafontaine.

    Sistem penjagaan kesihatan kebangsaan Switzerland tidak merangkumi ‘budaya sebagai kaedah terapi’, tetapi beliau berharap suatu hari nanti ia akan diterima, sekiranya hasilnya cukup positif.

    Marianne de Reynier Nevsky, pengurus mediasi budaya di bandar yang berpopulasi 46,000 itu, yang turut membantu merangka program ini, berkata idea tersebut dibangunkan berdasarkan inisiatif serupa yang diperkenalkan di Muzium Seni Halus Montreal, Kanada pada tahun 2019.

    Beliau berkata pelbagai jenis pesakit boleh mendapat manfaat.

    “Ia boleh melibatkan seseorang yang mengalami kemurungan, seseorang yang sukar berjalan atau seseorang yang menghidap penyakit kronik,” katanya berhampiran pameran perhiasan kepala bulu dari Papua New Guinea di Muzium Etnografi Neuchatel, sebuah vila lama yang telah diubah suai dan menghadap Tasik Neuchatel.

    ‘ARAHAN PERUBATAN’

    Sebahagian daripada tujuan program ini adalah untuk menggalakkan pesakit yang enggan keluar rumah supaya lebih aktif.

    Dr Marc-Olivier Sauvain, ketua pembedahan di Rangkaian Hospital Neuchatel, berkata beliau telah pun menetapkan lawatan muzium kepada dua pesakit untuk membantu mereka menjadi lebih cergas sebelum menjalani pembedahan yang dirancang.

    Katanya, pelaksanaan secara lebih meluas dirancang sebaik sahaja kumpulan kawalan diwujudkan.

    Bagi amalan beliau, tumpuan akan diberikan kepada pesakit yang mengakui telah hilang kebiasaan untuk keluar rumah.

    Beliau mahu mereka mula bergerak aktif.

    “Ia hanyalah angan-angan untuk berfikir bahawa menyuruh mereka berjalan atau bersiar-siar dapat meningkatkan tahap kecergasan sebelum pembedahan,” kata Dr Sauvain dalam satu panggilan video minggu lalu.

    “Saya fikir pesakit seperti ini akan benar-benar mendapat manfaat daripada preskripsi muzium. Kami akan beri mereka peluang untuk bersenam secara fizikal dan intelektual. Dan sebagai doktor, memang menyenangkan untuk menetapkan lawatan muzium berbanding ubat atau ujian yang tidak disukai oleh pesakit.”

    Beliau menambah, “Saya beritahu mereka, ‘Ini ialah arahan perubatan yang menyuruh awda melawat salah satu muzium cantik di bandar kami’.”

    Sebahagian pengunjung muzium juga melihat manfaatnya.

    “Saya fikir ini satu idea yang hebat,” kata Carla Fragniere Filliger, seorang penyair dan guru bersara, semasa lawatan ke muzium etnografi.

    “Sepatutnya ada preskripsi untuk semua muzium di seluruh dunia!” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda