BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Seramai 13 orang dari Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) telah mengadakan lawatan teknikal ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam, kelmarin.
Rombongan yang diketuai oleh Padzillah bin Che Ros telah dialu-alukan oleh Ketua Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Awang Noorisman bin Mentarais.
Dalam lawatan itu, rombongan telah diberikan taklimat serta penerangan ringkas mengenai program HNTec in Geomatics yang disampaikan oleh Ketua Program bagi HNTec in Geomatics, Awang Mohammad Roszeany bin Haji Rosli.
Antara matlamat utama lawatan itu adalah untuk membuat perjumpaan dan tinjauan serta perkongsian ilmu tentang perkembangan semasa yang berhubung kait dengan program Geomatics.
Rombongan juga berkesempatan membuat lawatan ke sekeliling kampus untuk melihat kemudahan yang terdapat di kampus tersebut dan di samping itu berpeluang melihat demonstrasi pemasangan alat-alat pengukuran yang dibuat oleh pelajar HNTec in Geomatics.
Pelajar-pelajar juga berpeluang bagi bertukar-tukar pandangan bersama delegasi untuk menambah ilmu pengetahuan baharu dan menimba pengalaman.
Dengan adanya lawatan teknikal itu, para guru dan pelajar dapat memperolehi banyak manfaat melalui perkongsian daripada pakar-pakar yang mempunyai kemahiran pengalaman dan pengetahuan.
Ia juga dapat diaplikasikan kepada program tersebut untuk menjadikan pelajar IBTE Kampus Nakhoda Ragam yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun teknikal dan dengan terlaksananya lawatan teknikal ini, kerjasama antara kedua-dua pihak akan berterusan pada masa akan datang.
