Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seramai 30 guru-guru Sekolah Chung Hwa Tutong (SCHT), telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Miri, baru-baru ini.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam bidang pengurusan sekolah serta amalan pengajaran dan pembelajaran.
Sepanjang sesi, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan, perkongsian idea serta lawatan sekitar kawasan sekolah bagi melihat secara dekat prasarana dan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan.
Guru Besar Sekolah Chung Hwa Tutong, Haji Yahya bin Haji Abd Rahman menyatakan bahawa lawatan ini membuka ruang kolaborasi lebih erat antara kedua-dua sekolah serta menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan dan profesionalisme guru.
Pihak tuan rumah, SJK (C) Chung Hua Miri turut menyambut baik lawatan tersebut dan berharap jalinan kerjasama dapat diteruskan di masa hadapan.
Lawatan itu turut diisi dengan Program Team Building yang diadakan di Hotel Meritz, Miri yang mana program berkenaan dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman, Jerni bin Zaini.
Antara lain objektif utama program itu untuk mengukuhkan kerjasama, komunikasi, dan semangat kekitaan dalam kalangan warga pendidik.
Pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan termasuk cabaran kumpulan, perbincangan refleksi serta permainan simulasi yang menekankan kepentingan kepimpinan dan kolaborasi.
Para peserta turut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih atas penganjuran program tersebut kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, malah memberikan pengalaman baharu dalam membina budaya kerja positif di sekolah.
Program ini diakhiri dengan sesi refleksi bersama fasilitator, di mana setiap guru diberi ruang untuk berkongsi pengalaman serta komitmen mereka dalam membawa nilai kerjasama dan kepercayaan ke dalam bilik darjah masing- masing.




