Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan pendidikan ke NUSHS, Singapura

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Delegasi yang terdiri daripada 10 orang pelajar pra-universiti dan dua orang guru Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) mengadakan lawatan ke National University of Singapore High School of Science and Mathematics (NUSHS), Republik Singapura di bawah Program Sekolah Berkembar Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura bermula hari ini hingga 3 Ogos.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah dan Ketua Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Norhaiyati binti Haji Serudin.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, serta para ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.

    Program Sekolah Berkembar di antara Maktab Sains dan NUSHS merupakan salah satu program kebitaraan maktab berkenaan yang telah dilaksanakan sejak 2006. Program itu bermatlamat untuk memupuk persekitaran pembelajaran kolaboratif dan mengenali budaya masing-masing.

    Selain itu, program berkenaan juga memfokuskan kepada bidang penyelidikan sains, kelestarian dan pertukaran sosio-budaya serta mengukuhkan hubungan erat dan kerjasama yang sedia terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Semasa lawatan itu nanti, para pelajar akan berpeluang untuk menyaksikan secara lebih dekat pelaksanaan sistem pendidikan di sekolah tersebut, selain berpeluang untuk menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman dengan meng-ikuti sesi pembelajaran serta aktiviti kokurikulum bersama rakan-rakan pelajar dari NUSHS.

    Di samping itu, para pelajar juga akan berkesempatan untuk melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di Singapura bagi mempelajari sejarah dan kebudayaan di sana.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam bagi program berkenaan telah diselaras oleh Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

    Delegasi yang terdiri daripada 10 orang pelajar pra-universiti dan dua orang guru Maktab Sains bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda