Wednesday, October 16, 2024
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan pengakap Brunei ke Limbang erat hubungan serantau

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan lawatan rasmi ke Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak, Daerah Limbang pada 12 dan 13 Oktober lalu.

    Majlis pelepasan rombongan telah diadakan di Pos Imigresen Jalan Ujong Jalan Temburong, dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Penolong Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Keagamaan, Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Mohammad bin Pengiran Jaluddin.

    Lawatan itu juga turut disertai oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas, ahli-ahli Majlis Pesuruhjaya, penolong-penolong pesuruhjaya pengakap Daerah Brunei dan Muara, pemimpin-pemimpin pengakap, ahli-ahli pengakap dewasa, serta ahli-ahli pengakap.

    Kemudian, upacara penyerahan bendera Brunei telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Junaidi bin Hussain, kepada Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Samsudin bin Haji Ahmad.

    Rombongan kemudiannya berlepas menuju Limbang dan disambut oleh wakil Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak, Daerah Limbang.

    Antara lain lawatan itu diadakan adalah bertujuan mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai aktiviti kepengakapan. Ia juga diharapkan dapat memupuk perpaduan dan pertukaran pengetahuan antara pengakap kedua-dua negara.

    Objektif utama lawatan adalah untuk mengukuhkan hubungan antara PPNBD dan Persekutuan Pengakap Malaysia, khususnya cawangan Sarawak. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama dalam penganjuran program kepengakapan peringkat antarabangsa, di samping pertukaran pengalaman dan idea bagi memperkasakan
    pergerakan pengakap di kedua-dua negara.

    Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang lawatan dua hari itu, termasuk Majlis Makan Malam, perbincangan mengenai kegiatan yang berpotensi dilaksanakan, lawatan ke Muzium Daerah Limbang, serta aktiviti riadah bersama Pengakap Daerah Limbang.

    Rombongan PPNBD bergambar ramai bersama Dato Paduka Ar Haji Idris sebelum memulakan lawatan. – GAMBAR SERAHAN PPNBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda