Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan perkukuh kerjasama pendidikan Brunei, Singapura

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pendidikan Swasta telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Kementerian Pendidikan Republik Singapura hari ini sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan antara kedua-dua negara.

    Delegasi seramai lima orang tersebut diketuai oleh Penolong Pengarah, Pembangunan Bakat, Bahagian Penempatan dan Perkhidmatan Pelajar, Kementerian Pendidikan Republik Singapura, Dayang Safirah binti Misti bersama tiga orang pemimpin sekolah iaitu Pengetua Dunman Secondary School, Toh Thiam Chye; Pengetua Ngee Ann Secondary School, Poh Shi Hui dan Pengetua Victoria School, Low Chun Meng serta seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan Republik Singapura iaitu Toh Wei Kit selaku Pengurus, Pembangunan Bakat.

    Dalam tempoh lawatan rasmi selama dua hari tersebut, delegasi berkesempatan mengunjungi beberapa institusi pendidikan swasta di Negara Brunei Darussalam. Pada hari pertama, lawatan diadakan di Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Sekolah St Andrew’s dan Sekolah St George’s manakala pada hari kedua, rombongan akan meneruskan lawatan ke Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Sekolah-sekolah berkenaan merupakan antara institusi pendidikan swasta yang dipilih untuk lawatan tersebut, yang menawarkan pendidikan dari peringkat tadika hingga menengah, dengan penekanan terhadap kecemerlangan akademik serta pendekatan holistik dalam pembangunan pelajar.

    Semasa lawatan, para delegasi berpeluang meninjau kemudahan pembelajaran, menyaksikan sesi pengajaran dan pembelajaran secara langsung, serta mengadakan perbincangan bersama pihak sekolah termasuk pemimpin sekolah, guru kanan dan guru-guru. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pendekatan inovatif dalam pedagogi dan integrasi teknologi dalam bilik darjah.

    Lawatan itu memberikan peluang yang signifikan untuk perkongsian amalan terbaik, di samping mengukuhkan potensi pelaksanaan program kerjasama seperti bengkel pendidikan STEAM, forum profesional pendidikan serta inisiatif bagi pertukaran pelajar dan guru antara kedua-dua negara.

    Lawatan tersebut turut mencerminkan hubungan dua hala yang erat dan saling menghormati antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, serta komitmen bersama dalam usaha memperkukuh mutu pendidikan dan pembangunan modal insan di rantau ini.

    Gambar ramai semasa kunjungan ke Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Delegasi Kementerian Pendidikan Republik Singapura semasa meninjau sesi pembelajaran di Sekolah St Andrew’s. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda