Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan Premier Sarawak ke Siemens Energy buka peluang kerjasama tenaga hijau

    KUCHING, 9 SEPT – Lawatan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke ibu pejabat Siemens Energy di Berlin, Jerman kelmarin membuka peluang kerjasama baharu dalam teknologi pengeluaran hidrogen.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau berkata lawatan itu memberi ruang kepada Sarawak menimba pengalaman dan memanfaatkan teknologi canggih syarikat tenaga global berkenaan, khususnya bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran hidrogen di negeri ini.

    “Teknologi elektroliser Siemens mampu menghasilkan hingga 350 kilogram (kg) hidrogen sejam, berbanding kapasiti semasa Sarawak, iaitu sekitar 130kg sehari,” kata beliau.

    Beliau berkata teknologi itu dilihat sebagai peluang besar untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran hidrogen pada masa hadapan dan perbincangan telah dibuat antara Siemens Energy, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi mengkaji bentuk kerjasama yang sesuai.

    Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili.

    Selain teknologi elektroliser, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak turut berminat meneroka kerjasama dalam pembangunan turbin gas serta Pusat Inovasi Siemens yang menawarkan kemudahan simulasi untuk penyelidikan dan pembangunan.

    “Teknologi turbin gas Siemens boleh diaplikasikan di Samalaju (di Bintulu) termasuk penaiktarafan turbin dari semasa ke semasa, manakala kemudahan simulasi di Pusat Inovasi Siemens pula berpotensi dimanfaatkan oleh pengguna di Sarawak,” kata beliau. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda