Sunday, February 9, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan Prince of Wales dan The Duchess of Cornwall

    Gambar oleh Sim Y.H dan Infofoto

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha hari ini berkenan menerima mengadap secara berasingan His Royal Highness The Prince of Wales dan Her Royal Highness The Duchess of Cornwall di Istana Nurul Iman.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap His Royal Highness The Prince of Wales yang turut disertai Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, selaku menteri pengiring dan Menteri di JPM dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

    Sementara itu, di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima mengadap Her Royal Highness The Duchess of Cornwall.

    Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan mengalu-alukan ketibaan Their Royal Highnesses.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Santap Minum Petang meraikan lawatan His Royal Highness The Prince of Wales dan Her Royal Highness The Duchess of Cornwall di Istana Nurul Iman selepas majlis mengadap.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta His Royal Highness The Prince of Wales dan Her Royal Highness The Duchess of Cornwall berkenan berangkat ke Majlis Santap Minum Petang di Istana Nurul Iman. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna. Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan datin.
    ATAS DAN BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap His Royal Highness The Prince of Wales manakala di ruang berasingan di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap Her Royal Highness The Duchess of Cornwall.

    DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengalu-alukan ketibaan Their Royal Highnesses ke Negara Brunei Darussalam.

    Turut menyertai Her Royal Highness the Duchess of Cornwall ialah isteri Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Xanthe Lindsay.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta Their Royal Highnesses kemudiannya berkenan berangkat ke Majlis Santap Minum Petang bagi meraikan lawatan Their Royal Highnesses, yang bertempat di Istana Nurul Iman.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Amat Mulia

    Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta kerabat diraja lain.

    Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Lapangan Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Their Royal Highnesses yang mengadakan lawatan sehari ke negara ini.

    Pesawat yang membawa Their Royal Highnesses dan rombongan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei petang tadi dan sebaik turun, pasangan diraja Britain itu dialu-alukan oleh Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia serta Their Royal Highnesses seterusnya berkenan melintasi Kawalan Statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia serta Their Royal Highnesses berangkat meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Turut hadir mengalu-alukan ketibaan Their Royal Highnesses ialah Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman, selaku menteri pengiring dan datin; Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan datin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan pengiran datin, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan datin serta Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan pengiran datin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda