Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B kelmarin menerima kunjungan daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Sawat dalam satu lawatan silaturahim yang bertujuan untuk bertukar pengalaman serta memperkukuh jalinan hubungan antara kedua-dua pihak.
Rombongan seramai 55 ahli dari Kampung Bukit Sawat itu diketuai oleh Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman. Turut menyertai rombongan ialah Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Lawatan berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan lebih dekat mengenai pelaksanaan Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di Kampung Jerudong B di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua buah MPK.
Hadir mewakili MPK Jerudong B ialah Ketua Kampung Putat Zon 5, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohammad serta Pengerusi MPK Jerudong B merangkap Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang.
Lawatan tersebut berlangsung di Pantai Siandang, Kampung Jerudong, dengan pelbagai acara menarik diatur termasuk sukan ria dan aktiviti riadah bersama penduduk setempat.
Selain itu, pelbagai jualan produk makanan dan minuman hasil inisiatif MPK turut diadakan bagi memeriahkan suasana, di samping memberi peluang kepada pengunjung menikmati pelbagai juadah tempatan sambil beriadah di kawasan pantai.
Semua di atas: Antara suasana dan aktiviti semasa lawatan tersebut.

