LONDON, 9 MAC – Putera Harry dan isterinya, Meghan akan membuat penampilan rasmi terakhir mereka sebagai ketua kanan hari ini, menyertai Ratu Elizabeth II dalam acara yang diadakan di London sebelum mereka membawa hala tuju sendiri.
Duke dan Duchess Sussex disertai kerabat diraja yang lain di upacara Hari Komanwel di Westminster Abbey.
Ia akan menjadi penglibatan awam terakhir mereka sebelum mengundurkan diri daripada peranan mereka pada hujung bulan Mac, tidak lagi akan menjadi wakil kepada ratu dan menjalani kehidupan yang baharu dengan kebebasan kewangan dan akan menetap di Kanada.
Harry dan Meghan mengejutkan monarki selepas mengumumkan pada bulan Januari lalu, bahawa mereka ingin bebas daripada kekangan diraja.
Mereka mengadu mengenai pencerobohan media, isu yang lama dihadapi oleh Harry, yang menyaksikan bagaimana jurugambar mengikuti bondanya Diana hingga kematiannya ketika kemalangan perlanggaran kereta di Paris pada tahun 1997.
Keputusan mereka untuk meninggalkan monarki telah mencetuskan kemarahan dan tidak puas hati dalam kalangan keluarga diraja di Britain, tetapi Harry dan Meghan mendapat sambutan hangat ketika penampilan terakhir mereka.
Pasangan tersebut menerima tepukan gemuruh ketika mengambil tempat duduk mereka pada malam yang dihiburkan oleh pancaragam tentera di Royal Albert Hall di London pada Sabtu lalu.
Pasangan itu akan masih mengekalkan naungan peribadi dan jawatan tentera Harry tidak akan diisi selama satu tahun.
Ratu Elizabeth dan kedua-dua pasangan tersebut bersetuju untuk membaharui perjanjian mereka dalam tempoh 12 bulan, sama ada mereka ingin kembali ke kehidupan diraja. – AFP
