Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan sambil belajar dedah peranan MMN kepada pelajar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sepanjang bulan November tahun ini, beberapa buah sekolah telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat sebagai usaha meningkatkan kefahaman pelajar mengenai Majlis Mesyuarat Negara (MMN).

    Program ini memberikan pengenalan tentang peranan dan fungsi MMN, serta perjalanan persidangan MMN.

    Perisian lawatan merangkumi sesi penerangan mengenai sejarah perkembangan MMN sejak penubuhannya semula pada tahun 2004 hingga kini, di samping lawatan ke Dewan Persidangan dan kawasan-kawasan utama di Bangunan Dewan Majlis.

    Pelajar-pelajar juga berkesempatan untuk mempelajari elemen seni bina berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja di samping menjadi lambang kepada identiti dan nilai yang menjadi asas MMN.

    Selain itu, pelajar-pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti aktiviti simulasi perbahasan yang memberi pendedahan kepada struktur perbahasan MMN dan proses pembentangan dalam persidangan. Aktiviti ini membantu mereka memahami prinsip bermuzakarah dan penyampaian pandangan.

    Antara sekolah-sekolah yang terlibat dalam program lawatan kali ini termasuk, Seri Mulia Sarjana International School, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sekolah Rendah Pengiran Muda Mahkota, dan International School Brunei.

    Secara keseluruhan, program ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman sivik dalam kalangan pelajar serta menggalakkan minat terhadap MMN. Pendedahan seumpama ini diharap akan dapat membantu generasi muda membina kesedaran awal mengenai peranan MMN dan kepentingannya dalam pembangunan negara pada masa hadapan.

    Lawatan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
    Lawatan dari Pusat Tingkatan Enam Meragang.
    Lawatan dari International School Brunei.
    Lawatan dari Sekolah Seri Mulia Sarjana International School.
    Lawatan dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
    Lawatan dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab.
    Lawatan dari Sekolah Rendah Pengiran Muda Mahkota. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda