Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Seramai 20 orang pelajar Fakulti Teknologi Maklumat (FIT), Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) bersama enam orang guru telah mengadakan lawatan sambil belajar ke premis Terminal Pelabuhan Muara, Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), kelmarin.
Lawatan tersebut adalah sebagai usaha untuk memberi pemahaman menyeluruh kepada pelajar mengenai projek dan teknologi IT dalam suasana profesional seterusnya memberi inspirasi dan meningkatkan pemahaman tentang projek dan teknologi IT dalam dunia moden.
Rombongan tersebut diketuai oleh Ketuai Bahagian IT, Dayang Siti Nasyroh binti Mohammad Nayan dengan diiringi empat lagi pensyarah IT dan ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO), Fazilah Yassin dan beberapa lagi kakitangan pengurusan MPC.
Antara tempat yang dilawati adalah Terminal Konvensional Muara (MCVT) dan Terminal Kontena Muara (MCT) di mana mereka menyaksikan sistem IT termaju yang digunakan oleh MPC dan memberikan mereka pandangan berharga tentang cara teknologi ini menyelaraskan operasi dan memudahkan kecekapan pengurusan aliran kerja.
Selain itu, mereka berpeluang melihat secara langsung bagaimana teknologi disepadukan dengan lancar ke dalam pelbagai proses di Muara International Fish Landing (MIFL) seterusnya mengukuhkan pemahaman tentang penggunaan praktikal projek IT.
Rombongan juga melihat sendiri bagaimana sistem dan teknologi IT digunakan dalam tetapan dunia sebenar semasa lawatan mereka ke MPC.
Melalui bengkel interaktif dan lawatan itu, pelajar diberikan keistimewaan untuk terlibat secara langsung dengan pakar industri selain memperoleh pengetahuan penting dan pengalaman dalam dunia sebenar dengan kemajuan teknologi dan peranan penting yang dimainkan oleh sistem IT dalam operasi harian MPC.


