BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Rombongan seramai 37 pelajar dan empat guru dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab bersama dua pegawai dari Unit Akademik Jabatan Sekolah-sekolah dan tiga ahli Komiti Program Admin BTEC telah mengadakan lawatan ke Pusat Pembangunan Belia (PPB), pagi tadi.
Pelajar-pelajar yang terlibat sedang mengikuti Program PEARSON BTEC dalam Hospitaliti serta Seni dan Reka Bentuk.
Kedatangan rombongan yang diketuai oleh Pengurus Operasi Sekolah berkenaan Awang Bakar bin Haji Abdul Rahman, telah dialu-alukan oleh Penolong Pegawai Latihan PPB, Haji Roslan bin Haji Kurus yang turut menyampaikan taklimat ringkas dan diikuti dengan sesi soal jawab.
Selepas itu rombongan dibawa ke blok-blok di pusat berkenaan untuk meninjau bengkel dan latihan yang dijalankan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P6-5A_031117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P6-5B_031117.jpg)
Lawatan itu adalah inisiatif Unit Kaunseling dan Kerjaya Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab yang bertujuan untuk mendedahkan guru dan pelajar Program PEARSON BTEC mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di pusat itu sebagai salah satu hala tuju bagi pelajar lepasan program yang berkebolehan dan mengenal pasti kemahiran kerja dan kriteria kemasukan.
Di akhir lawatan itu, Awang Bakar turut menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Haji Roslan bagi wakil PPB.