Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 24 OGOS – Seramai 40 orang belia dan penduduk tadahan Mukim Ukong, Daerah Tutong iaitu dari Kampung Ukong, Kampung Bukit dan Kampung Long Mayan telah memanfaatkan musim cuti persekolahan dengan mengikuti program lawatan sambil belajar ke dua lokasi menarik di Daerah Belait, baru-baru ini.
Program sehari anjuran Biro Belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong Daerah Tutong itu telah diketuai oleh Ketua Biro Belia MPK Ukong, Awang Mohamad Subhi bin Haji Julaihi dengan destinasi lawatan pertama mereka adalah ke Ladang Kopi Labi pada sebelah pagi.
Semasa di lokasi berkenaan, rombongan berpeluang menerokai suasana ladang kopi sehingga teknik pemprosesan yang dikendalikan oleh Syarikat Pertanian Tropikal Utama yang dimiliki oleh Yong Khian Fook.
Pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke Rumah Panjang Mendaram Besar bagi sama-sama mengeratkan lagi hubungan silaturahim, mengenali budaya dan warisan warga setempat di samping menyaksikan hasil kraf tangan dan kesenian tarian serta pakaian tradisi.
Melalui perkongsian kepada Media Permata dalam talian, Awang Mohamad Subhi antaranya berkata, lawatan sedemikian dihasratkan untuk memberi pendedahan dan membuka minda penduduk Mukim Ukong agar mengambil inspirasi kegigihan sesebuah organisasi atau industri itu mengorak langkah mengembangmajukan bidang perusahaan atau perkhidmatan melalui penerapan amalan bertani, budaya dan sebagainya.
“Secara tidak langsung, dengan adanya program sebegini, ia mampu menjadikan Biro Belia MPK Ukong sebagai satu platform bagi sama-sama membantu penduduk kampung untuk meningkatkan kemajuan ekonomi dalam kehidupan sehari-hari sama ada secara persendirian mahu pun produk kampung sejajar dalam usaha bersepadu dalam merealisasikan wawasan negara yang hanya tinggal 12 tahun sahaja lagi ini,” ujarnya.


