Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Seramai 95 orang pelajar dan tenaga pengajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Lawatan di Bangunan PGGMB di ibu negara itu antara lain bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan pandangan berharga mengenai produk dan perkhidmatan BIBD serta komitmen bank terhadap pembangunan negara dan perkembangan komuniti.
Di samping itu, ia juga diadakan untuk memperkenalkan pelajar kepada pelbagai aspek projek dan inisiatif BIBD, selain diatur sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.
Semasa lawatan, pelajar dan tenaga pengajar mendapat pemahaman lebih mendalam tentang projek strategik BIBD yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara di bawah pendekatan seluruh negara.
Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah dan turut hadir ialah pegawai kanan dan kakitangan BIBD.
