Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Seramai 40 orang pemandu pelancong mengikuti latihan dan lawatan di Muzium Maritim Brunei Darussalam, Makam Sultan Sharif Ali dan Makam Sultan Bolkiah yang diadakan selama dua hari.
Lawatan dan taklimat berkenaan diadakan khusus untuk pemandu-pemandu pelancong yang telah berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Taklimat bertujuan untuk menambah ilmu dan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan pemandu-pemandu pelancong secara lebih mendalam mengenai Muzium Maritim, Makam Sultan Sharif Ali dan Makam Sultan Bolkiah.
Maklumat ini diharap dapat diguna pakai oleh pemandu pelancong semasa memberikan perkhidmatan pemanduan pelancong-pelancong yang akan berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.
Penerangan mengenai Muzium Maritim Brunei Darussalam dan bahan-bahan yang dipamerkan telah disampaikan oleh Penolong Penyelidik Arkeologi Kanan, Awang Erdi Herman bin Haji Tiban manakala Penolong Pegawai Sejarah, Haji Mohammad Noor Irwan bin Haji Osmar mewakili Pusat Sejarah, menyampaikan maklumat mengenai Makam Sultan Sharif Ali dan Makam Sultan Bolkiah serta diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Dengan adanya perkongsian berkenaan diharap maklumat yang disampaikan kepada pemandu-pemandu pelancong adalah betul dan selaras untuk disampaikan kepada umum.
