MEKAH AL-MUKARRAMAH, ARAB SAUDI, 28 MEI – Bagi mengisi masa para bakal jemaah haji sebelum tibanya hari kemuncak wukuf di Arafah, Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) telah menyusun pelbagai atur cara harian termasuk sesi ulang kaji manasik serta program ziarah ke lokasi-lokasi bersejarah sekitar Kota Mekah.
Antara tempat yang diziarahi ialah Jabal Thur, Jabal Nur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Muzdalifah dan Mina.
Aktiviti ziarah yang bermula seawal jam 7:15 pagi ini bertujuan untuk memberikan pendedahan mendalam kepada para jemaah berkenaan sejarah Islam serta konteks lokasi-lokasi penting dalam ibadah haji.
Sepanjang lawatan, para jemaah yang turut diiringi oleh mutawwif berpengalaman telah menyampaikan penerangan terperinci mengenai setiap tempat yang dikunjungi.
Penceritaan sejarah yang disampaikan bukan sahaja menambah ilmu, tetapi turut menyemarakkan semangat dan penghayatan para jemaah terhadap perjuangan Rasulullah SAW serta peristiwa-peristiwa agung dalam lipatan sejarah Islam.
Menurut pihak pengurusan, program ziarah itu merupakan sebahagian inisiatif berterusan syarikat untuk menambah nilai dalam pengalaman rohani para jemaah.
Pengarah Urusan DSSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed, berkata, “DSSB percaya bahawa memahami konteks sejarah dan latar belakang lokasi-lokasi suci ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam dalam pelaksanaan ibadah haji.”