Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 74 pelajar dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah mengadakan lawatan ke Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Brunei (RTB), Sungai Akar, hari ini.
Berkenan berangkat menyertai rombongan berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Hadir sama ialah Pengiran Abdul Wali Amiruddien bin Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah.
Rombongan sekolah telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah RTB, Cheong Chee Keong.
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai dengan fungsi utama RTB sebagai penyiar rasmi kerajaan yang antara lain berperanan untuk menyampaikan maklumat, mendidik dan menghibur serta menjadi penghubung di antara kerajaan dan rakyat.


Topik mengenai teknik serta prinsip penulisan dan bahasa yang digunakan dalam berita juga turut disampaikan oleh Penolong Ketua Penyunting, Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa (BHES), Awang Zul-Fakhri bin Maidy.
Selepas sesi taklimat berkenaan, rombongan pelajar melawat ke Studio Jubli Emas TV untuk menyaksikan lebih dekat bagaimana rancangan Rampai Pagi beroperasi di sebalik tabir seperti penyediaan set, pengoperasian kamera dan teknik penyiaran langsung.
Para pelajar juga berpeluang berinteraksi dengan kru penerbitan dan mengetahui lebih lanjut mengenai peranan utama setiap individu dalam memastikan kelancaran rancangan.
Seterusnya, para pelajar juga dibawa melawat ke Unit Pemberitaan dan Unit Penyuntingan Berita TV dan Radio, BHES, untuk memahami proses pengumpulan dan penyuntingan kandungan berita televisyen dan radio.
Di sana, mereka dapat melihat sendiri bagaimana berita ditulis, disemak dan disunting bagi menghasilkan kandungan yang berkualiti, jelas dan tepat untuk disiarkan kepada umum.
Sejurus itu, lawatan diadakan di Studio Berita termasuk galeri studio, untuk melihat bagaimana kru melakukan tugasan mengawal penggambaran dan rakaman.
Selepas itu, mereka melihat bagaimana pembaca berita menggunakan teleprompter iaitu alat yang memaparkan teks skrip untuk dibaca semasa siaran berita.
Lawatan pelajar ISB itu menandakan satu penerokaan dan pembelajaran yang tidak dapat dilupakan di RTB, yang memberi tumpuan kepada dedikasi RTB untuk menjalankan peranan utamanya bukan sahaja sebagai wadah menyampaikan maklumat, tetapi juga untuk menanai imej kerajaan yang efektif dan pemedulian.

