Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Dengan matlamat untuk memantapkan lagi program dan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam, tujuh orang ahli Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam mengadakan lawatan ilmiah ke beberapa buah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan HIV dan AIDS di Malaysia bermula hari ini hingga 22 Disember.
Sehubungan dengan itu, rombongan Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Presiden Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam, Awang Iswandy bin Ahmad; Naib Presiden Pentadbiran, Awang Mohd Hazrin bin Daud; Naib Presiden Program dan Aktiviti, Dayang Siti Kailene binti Jazilan Khasfi; Setiausaha Pentadbiran, Awang Mohd Norul Alhakim bin Awang Pandin; Setiausaha Media dan Perhubungan Awam, Dayang Nurul Adilah binti Mahmud; ahli eksekutif, Hajah Salmah binti Haji Mohd Noor serta ahli eksekutif-keagamaan, Awangku Muhd Haziq bin Pengiran Haji Japar, berlepas ke Malaysia, hari ini.
Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Awang Mohd Hazrin menyatakan bahawa lawatan ilmiah itu memberikan peluang kepada Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam untuk mempelajari, melihat dengan lebih dekat dan bertukar-tukar maklumat mengenai program-program yang dilaksanakan oleh NGO di Malaysia.
Menerusi lawatan itu, jelasnya, mereka akan dapat menilai program-program dan aktiviti-aktiviti yang boleh diperkenalkan serta diadaptasikan untuk dilaksanakan di negara ini.
Beliau menambah sebagai sebuah organisasi bagi meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS di sini, mereka akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan dan kandungan program serta aktiviti kesedaran yang dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih efektif kepada masyarakat.


Lawatan yang ditaja oleh Gleneagles Jerudong Park Medical Centre itu akan diisikan dengan lawatan ke beberapa buah NGO yang menawarkan perkhidmatan atau program dan aktiviti berkaitan dengan HIV dan AIDS.
Antara NGO yang akan dilawati semasa lawatan ilmiah berkenaan adalah Pengasih Malaysia, Rumah Solehah, AR-RIQAB, PT Foundation, Malaysia AIDS Council, LPPKN Malaysia dan PERNIM (Dusun Noreen Camp).
Lawatan ilmiah itu bermatlamat untuk mempelajari dan memerhati secara lebih dekat perkhidmatan atau program dan aktiviti yang ditawarkan oleh NGO Malaysia yang berkaitan dengan HIV dan AIDS, mengukuhkan lagi penglibatan Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam di peringkat antarabangsa serta menjalinkan hubungan silaturahim dan kerjasama dengan NGO di luar negara.
Lawatan itu juga dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta cara-cara menangani isu-isu yang berkaitan dengan gejala sosial dan HIV serta AIDS dengan lebih berhemah.
Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2000, bergerak secara aktif dalam menyebarkan kesedaran mengenai penyakit HIV dan AIDS di Negara Brunei Darussalam.
Pelbagai program dan aktiviti telah pun dilaksanakan pada setiap tahun dengan kerjasama dari Kementerian Pendidikan, Pusat Promosi Kesihatan, Pusat Dakwah Islamiah serta Jabatan Pembangunan Masyarakat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai faktor risiko gejala sosial yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan penyakit STI terutama sekali HIV dan AIDS.

