Oleh Syahmi Hassan & Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang dan Kampung Kiudang yang masing-masing bermula kelmarin, telah diteruskan lagi untuk hari kedua, hari ini, dengan sesi taklimat dan lawatan ke beberapa tempat.
Rombongan seramai 50 orang peserta dari Kampung Kiudang yang diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Kiudang, Haji Saiful Bahri bin Haji Umarali telah mengadakan lawatan ke Jabatan Adat Istiadat, Bandar Seri Begawan.
Turut hadir semasa lawatan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung dan Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Sellahhuddin.
Semasa lawatan berkenaan, rombongan mendengarkan taklimat bertajuk ‘Terasul dan Bahasa Pengganti Diri Bahasa Dalam’.
Hadir semasa sesi taklimat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Dato Paduka Awang Razali bin Haji Badar.


Rombongan juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke Bangunan Lapau di mana Pegawai Penyelidik, Awang Mohd Zaim bin Mahmud menerangkan mengenai sejarah terbinanya Bangunan Lapau dan peristiwa-peristiwa penting.
Seterusnya, rombongan turut mengadakan lawatan ke Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd di mana mereka berpeluang untuk mendapatkan maklumat mengenai peranan dan fungsi syarikat serta melawat ke kilang pemprosesan aiskrim.
Sementara itu, pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke Syarikat Perniagaan Malar Setia (SPMS) yang berkembang daripada operasi kecil yang menjual barang-barang beku, menjadi pengedar utama untuk lebih dari 35 jenama terkenal di peringkat antarabangsa.
Rombongan turut mengadakan lawatan ke Ladang Tunas Harapan Sdn Bhd di KKP Sibongkok, Kampung Masin di mana mereka mendengarkan penerangan mengenai produk-produk hasil tanaman seperti pelbagai jenis sayur, cara penanaman yang betul dan latar belakang berkembangnya perusahaan tersebut disampaikan oleh Andi Setiawan dari ladang berkenaan.
Sementara itu, rombongan seramai 39 orang peserta dari RPN Kampung Meragang yang diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Meragang, Awang Hadi Muslim bin Abdullah pula memulakan program dengan menghadiri sesi taklimat yang diadakan di Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM).
Pada sesi berkenaan, mereka mendengarkan taklimat daripada Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan; Darussalam Enterprise (DARe); Syarikat IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) dan taklimat mengenai tanaman daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Pada sebelah petang, rombongan telah dibawa melawat ke Rimba Garden Central (RGC), Rimba, di mana mereka mendengarkan taklimat mengenai tanaman bunga.
Mereka kemudiannya meneruskan lawatan ke RZ Prisma Enterprise di Kampung Kilanas dan mendengarkan taklimat mengenai tanaman sayuran-sayuran yang menggunakan sistem rumah terlindung dan hidroponik dan sistem bertingkat (vertical farming) serta penerangan ringkas mengenai cara-cara membaja dan menanam dan cadangan jika ingin memiliki perusahaan sendiri.