Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan tingkat ilmu pertanian

    Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Yusrin Junaidi & Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Program Masyarakat Bermaklumat bagi Kampung Sengkarai dan Penabai Daerah Tutong telah diteruskan lagi hari ini dengan beberapa lawatan ke Daerah Brunei dan Muara.

    Pada hari kedua program berkenaan, rombongan peserta yang terdiri daripada seramai 40 orang penduduk Kampung Sengkarai dan Kampung Penabai telah mengadakan lawatan ke RZ Prisma Enterprise di kawasan kemajuan pertanian Kilanas, Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei.

    Semasa lawatan itu, rombongan mendengarkan taklimat mengenai penanaman sayur-sayuran yang menggunakan sistem rumah terlindung, hidroponik dan sistem penanaman bertingkat (vertical farming).

    Seterusnya, rombongan dibawa mendengarkan taklimat di Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas.

    Taklimat yang bertajuk ‘Industri Tanaman serta Keusahawanan di Negara Brunei Darussalam’ telah disampaikan oleh Ketua Unit Lepas Tuai, Awang Muhammad Faa’id bin Haji Mohammad Kasim dan Awang Hasdattulamin bin Haji Mohd Tahir dari Bahagian Industri Makanan.

    Hajah Janah ketika ditemu bual semasa lawatan tersebut.
    Rombongan peserta Program Masyarakat Bermaklumat bagi Kampung Sengkarai dan Penabai Daerah Tutong ketika mengadakan lawatan ke Rimba Garden Central.

    Selepas itu, rombongan mengadakan lawatan ke Rimba Garden Central (RGC) untuk melihat lebih dekat lagi pelbagai lagi jenis tanam-tanaman segar dan hijau yang dijual di sana.

    Salah seorang ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai, Hajah Janah binti Bujang semasa ditemu bual media mengatakan lawatan ke beberapa buah tempat pertanian di daerah ini telah memberikan ilmu pertanian yang bermanfaat yang bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga bagi memajukan MPK Sengkarai pada masa akan datang.

    “Dengan adanya lawatan ke sini, ia akan dapat membantu MPK Sengkarai untuk mengeluarkan hasil produk sendiri sama ada melalui pertanian atau penternakan,” jelasnya.

    Program anjuran Jabatan Penerangan melalui cawangan Tutong dengan kerjasama Jawatankuasa Program Masyarakat Bermaklumat bagi Kampung Sengkarai dan Kampung Penabai itu berlangsung selama dua hari bermula kelmarin dengan majlis pembukaan yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. Melalui program berkenaan, ia diharap akan dapat menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan melalui taklimat, dialog dan lawatan terutama dalam menyokong dan menghargai usaha kerajaan dalam membangun negara bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Selain itu, ia dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan serta usaha keras dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui taklimat dan lawatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda