Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan tingkat kefahaman pendidikan bahasa Cina

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Dua orang pendidik dari Negara Brunei Darussalam telah menyertai Program Latihan Guru dan Pendidikan Bahasa Cina yang berlangsung di Qingdao, Republik Rakyat China dari 13 hingga 27 Julai lalu.

    Program latihan yang disertai oleh Pengerusi Sekolah Sinaran Pelangi, Loo Shee Yun dan Pentadbir Kanan, Tang Sie Kiang, itu dianjurkan Qingdao University dan disokong oleh Qingdao People’s Government Office of Overseas Chinese Affairs.

    Program berkenaan dihadiri lebih 70 orang pendidik dari 27 buah negara di mana ia bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman pada peserta mengenai pendidikan bahasa Cina dalam zaman digital sambil memberikan penghargaan kepada budaya serta inovasi pengajaran.

    Sepanjang program, para peserta menghadiri sesi kuliah dan bengkel yang meliputi pelbagai topik termasuk budaya Cina, integrasi kecerdasan buatan dalam pendidikan dan pedagogi pengajaran kontemporari.

    Sesi pembelajaran berkenaan menggalakkan para pendidik untuk meneroka bagaimana teknologi boleh melengkapi nilai-nilai tradisional dalam bilik darjah moden.

    Loo Shee Yun (kanan) dan Tang Sie Kiang menyertai Program Latihan Guru dan Pendidikan Bahasa Cina di Qingdao, Republik Rakyat China baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN LOO SHEE YUN
    Para peserta program bergambar ramai semasa menghadiri program latihan berkenaan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN LOO SHEE YUN

    Sebagai sebahagian daripada program, para peserta juga mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Qingdao, Canghai Road di mana mereka memerhatikan pengajaran Bahasa Cina dan mengambil bahagian dalam aktiviti mewarnakan kipas lakuer untuk mengalami sendiri kraf tangan tradisional Cina.

    Sekolah itu juga menyaksikan persembahan murid-murid yang mengetengahkan integrasi budaya dan kreativiti dalam kurikulum mereka.

    Selain itu, para peserta juga mengadakan lawatan kebudayaan ke Langya Terrace, Bandar Purba Qingzhou dan Gunung Laoshan untuk menikmati kekayaan warisan dan keindahan alam semula jadi wilayah berkenaan.

    Ketika mengulas mengenai pengalamannya sepanjang program itu, Loo Shee Yun menyatakan program latihan itu merupakan satu perjalanan pembelajaran baginya.

    Walaupun program itu padat, tambahnya, kurikulum komprehensif yang meliputi budaya, pendidikan dan seni itu telah mengembangkan pengetahuannya serta memberikannya perspektif baharu terhadap pengajaran, justeru merangsangnya untuk menilai semula falsafah pendidikan serta amalan-amalan bilik darjahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda