Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 22 SEPT – Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon telah mengadakan lawatan pertamanya ke Daerah Belait dan menyaksikan sendiri kemajuan yang dicapai dalam mengutamakan Ujian Tanpa Memusnahkan (NDT) antara Brunei dan Singapura sempena majlis perasmian Beta Testing Services (BTS) Sdn Bhd, kelmarin.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengurus Teknikal dan Jurulatih NDT&ISO, BTS Sdn Bhd, Balakrishnan Chandramohan menyatakan semula matlamat syarikat untuk membantu mencapai Wawasan Brunei 2035 di samping menggariskan objektif serta pelbagai pencapaian yang telah dicatat syarikat.
Beliau menambah BTS adalah syarikat pertama yang berdaftar dengan Pusat Standard Kebangsaan, di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Sementara itu, TYT Laurence Bay Siow Hon dalam ucapannya menyatakan sektor minyak dan gas Brunei telah memacu banyak industri, mencipta ribuan pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Syarikat seperti BTS memainkan peranan penting dengan membangunkan kemahiran dan keupayaan yang diperlukan dalam bidang NDT untuk tenaga kerja Brunei.
“Dengan melengkapi latihan dan pensijilan sistematik mengenai NDT kepada rakyat Brunei, mereka akan dapat mencari pekerjaan berkualiti dalam industri seperti minyak dan gas, maritim, aeroangkasa dan banyak lagi.
“BTS, organisasi pertama di Brunei yang telah diakreditasi oleh Non-Destructive Testing Society Singapore (NDTSS), memilih untuk bekerjasama dengan NDTSS untuk latihan dan akreditasinya.”
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam dan pengerusi pensijilan oleh Pengurus Besar BTS, Melvin Hon.
Turut hadir pada majlis ialah Pemangku Pengarah Pusat Standard Kebangsaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On.
Terdahulu, pada 20 September, Tuan Yang Terutama juga berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai institut pendidikan di daerah tersebut dengan lawatan ke Sekolah Menengah Chung Hua (CHMS), Kuala Belait.
Mengalu-alukan Tuan Yang Terutama ialah Penyelia Akademik Sekolah, Yap Sin Fah; Pengetua, Dr Chong Kui Kian; Timbalan Pengetua Jaime Lim, serta pelajar sekolah rendah.
Semasa lawatannya, Tuan Yang Terutama dapat mengetahui lebih lanjut mengenai sekolah itu melalui beberapa siri pembentangan yang disampaikan oleh pelajar menengah yang memberikan tumpuan kepada sejarah, kemudahan dan pencapaian sekolah.