Oleh Salawati Haji Yahya –
Walaupun sudah berusia, namun sema-ngat untuk terus menimba ilmu tidak pernah luntur meskipun terpaksa meredah kawasan ladang buah yang berbukit dengan akar-akar pokok yang besar.
Minat yang mendalam untuk melihat lebih dekat cara pengendalian dan penjagaan lebah kelulut telah membawa 20 ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B ke Taman Lebah Kelulut Mejawa Jerudong B, baru-baru ini.
Lawatan itu telah dikendalikan oleh Bahagian Sosial dan Kemasyarakatan, Biro Wanita MPK Sengkurong B yang mana ia adalah sebahagian daripada aktiviti yang telah ditetapkan dalam kalendar biro berkenaan.
Rombongan Biro Wanita MPK Sengkurong B itu diketuai oleh Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin.
Turut hadir semasa lawatan itu, Pemangku Ketua Kampung Jerudong A dan B, Awang Mohd Nazmi Faiz bin Haji Abu Bakar dan Awang Kamis bin Panjang.








Antara tujuan lawatan yang dijalankan adalah bagi mengetahui cara-cara penjagaan kelulut dan penghasilan madu kelulut di samping berkongsi ilmu bersama ahli-ahli lain yang berhasrat untuk mengusahakan madu kelulut di masa akan datang.
Sebelum mengadakan lawatan ke taman berkenaan, rombongan telah diberikan penerangan ringkas mengenai jenis kelulut yang terdapat di taman tersebut yang disampaikan oleh Haji Momin bin Haji Tujuh.
Taman Kelulut Mejawa
Menariknya, dalam satu perkongsian pihak media bersama pengusaha kelulut, terdapat satu taman yang terletak di kawasan ladang buah yang telah diusahakan di bawah MPK Jerudong sejak 2016 oleh Haji Mohd Tamin bin Haji Jaafar dan Awang Dua bin Ahmad.
Dalam satu temu bual bersama Haji Mohd Yamin, salah seorang pengusaha Taman Lebah Kelulut Mejawa menjelaskan bahawa taman berkenaan mempunyai 100 log atau rumah kelulut di atas tanah seluas 1 hektar.
Beliau seterusnya menambah bahawa taman kelulut itu mempunyai enam jenis kelulut di mana hanya terdapat dua jenis kelulut yang aktif menghasilkan madu iaitu Kelulut Itama dan Kelulut Tuma.
“Madu yang dihasilkan akan dipasarkan dalam negara dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan, selain itu madu kelulut yang dihasilkan pernah menyertai ekspo di luar negara seperti China dan ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan,” jelasnya.
Katanya lagi, “Sebelum ini, taman kelulut ini terletak di tapak yang lain tapi disebabkan lebah kelulut semakin berkurangan mungkin disebabkan persekitarannya yang kurang sesuai, ia dipindah ke tapak masa ini”.
Mengenai pemilihan tapak di kawasan ladang buah itu, persekitaran alam semula jadi untuk rumah kelulut itu akan membantu meningkatkan lagi penghasilan madu kelulut dan mendorong lebah kelulut menetap di kawasan berkenaan.
Kenal pasti madu kelulut
Menyentuh mengenai lebah kelulut, serangga ini sebenarnya juga dikenali sebagai ‘meliponini’ yang mampu menghasilkan madu sama seperti lebah madu yang lain, tetapi yang hanya membezakan lebah kelulut itu dengan yang lain adalah ia tidak menyengat.
Madu kelulut menjadi madu yang popular kerana ia berbeza dengan madu yang dihasilkan oleh lebah madu biasa dari segi warna, rasa dan juga kepekatannya.
Secara amnya, madu kelulut boleh dikenali melalui empat ciri-ciri penting iaitu warna, rasa, bau dan juga kepekatan madu berkenaan. Madu kelulut juga se-ring kali kelihatan berbuih.
Lantaran itu, madu kelulut yang baharu dituai secara purata adalah cair berbanding dengan madu yang terdapat di pasar raya dan juga yang diimport.
Ini kerana madu lebah mentah me-ngandungi kandungan air dan kelembapan yang lebih tinggi iaitu madu lebah sebanyak 20 peratus berbanding madu kelulut sebanyak 30 peratus.

