Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Untuk memahami lebih mendalam peranan dan operasi Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dalam menyebarluaskan ajaran Islam di Negara Brunei Darussalam, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah mengadakan lawatan ke PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama di Bangunan PDI, Kampung Pulaie petang tadi.
Antara lain objektif lawatan adalah untuk meneroka potensi kerjasama antara PDI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketibaan Tuan Yang Terutama di PDI dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan diselajurkan dengan sesi bergambar
ramai.
Acara diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidup, diikuti ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Rombongan Tuan Yang Terutama seterusnya mendengar taklimat mengenai perkembangan dakwah yang dilaksanakan PDI. Di samping bertukar-tukar fikiran dalam bidang dakwah, rombongan juga berkesempatan meninjau dan mempelajari tentang kemajuan serta perkembangan kedua-dua jabatan.
