Lawatan tinjau perkembangan industri perikanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Bagi meninjau perkembangan industri perikanan sekali gus melihat lebih dekat lagi penternakan udang di negara ini, rombongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) pagi tadi telah mengadakan lawatan di tapak perusahaan ternakan udang di Sungai Penyatang, Telisai dan Stesen Pam Bekalan Air Laut Kampung Keramut, Daerah Tutong.

Lawatan yang diketuai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong itu merupakan beberapa siri lawatan yang telah diatur oleh KSSUP.

Lawatan rombongan berkenaan bermula di Tapak Ternakan Udang Sungai Penyatang seluas 200 hektar yang dipunyai oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd, di mana semasa lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah diberikan penerangan mengenai operasi ladang berkenaan oleh pengarah syarikat berkenaan, Richard Chuang Hsi Shan.

Rombongan seterusnya dibawa menyaksikan demonstrasi alat Automated Water Quality yang dapat mempamerkan data parameter air dalam kolam-kolam ternakan udang di ladang tersebut seperti kadar kemasinan, kadar larutan oksigen, suhu dan lain-lain parameter air melalui sistem sensor dan elektronik berkomputer menggunakan teknologi Internet of Things (IoT).

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan kemudiannya dibawa menyaksikan aktiviti penuaian udang vannamei di kawasan Zon A, ladang Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika bergambar ramai bersama rombongan dan kakitangan syarikat pen-ternak udang berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika bergambar ramai bersama rombongan dan kakitangan syarikat pen-ternak udang berkenaan.

Sejumlah tiga tan metrik udang telah diperolehi daripada hasil tuaian hari ini sekali gus menjadikan jumlah keluaran udang laut dari ladang ini berjumlah 104 tan metrik yang terdiri daripada 44 tan metrik udang vannamei dan 60 tan metrik udang harimau sehingga bulan Mac, 2020. Syarikat ini menyasarkan keluaran udang berjumlah 2,000 tan metrik dengan nilai $15.98 juta pada tahun 2020.

Udang vannamei baru diperkenalkan untuk diternak di negara ini bermula bulan Oktober 2019 sebagai spesies tambahan bagi perusahaan ternakan udang laut, selain daripada spesies udang rostris dan udang harimau yang sedia ada. Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd juga mempunyai perusahaan yang berintegrasi bagi keseluruhan rantaian ternakan udang iaitu daripada perkembangan induk, penetasan, semaian, pembesaran (grow-out) dalam kolam dan pemprosesannya.

Selain tapak di Sungai Penyatang seluas 200 hektar ini, syarikat ini juga mengusahakan ternakan udang rostris dan vannamei di tapak-tapak ternakan di Kampung Keramut, Telisai seluas 31 hektar dan di Sungai Paku seluas 25 hektar selain daripada melaksanakan skim contract farming dengan beberapa buah ternakan udang yang lain.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan beserta rombongan pagi tadi juga seterusnya dibawa melihat ke kemudahan Stesen Pam Air Laut, Kampung Keramut yang disediakan oleh Jabatan Perikanan sebagai bantuan daripada kerajaan bagi memudahkan operasi perusahaan ternakan udang laut dalam kolam pengusaha-pengusaha udang di kawasan Tapak Ternakan Udang Kampung Keramut.

Stesen pam tersebut adalah kritikal bagi membekalkan air laut untuk operasi ladang-ladang udang laut di kawasan tersebut. Stesen pam air laut berkenaan juga akan dinaiktaraf bagi memastikan air laut adalah mencukupi dan konsisten untuk dibekalkan ke ladang-ladang perusahaan ternakan udang laut di kolam kawasan Kampung Keramut yang keseluruhannya berjumlah 92 hektar.

Turut menyertai rombo-ngan lawatan kerja hari ini ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pemangku pengarah perikanan dan pegawai-pegawai kanan dari KSSUP dan Jabatan Perikanan.