Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan TPM Singapura perkukuh kerjasama Tenaga Brunei-Singapura

    Oleh Daniel Lim

    KUALA BELAIT, 1 OKT – Brunei Rotary Engineering Sdn Bhd (BRE) telah menerima lawatan rasmi Tuan Yang Terutama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Republik Singapura Gan Kim Yong ke pejabat syarikat berkenaan di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) Centre, kelmarin.

    Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, Menteri Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Keuda, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

    Lawatan itu menandakan satu pencapaian penting kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, serta mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor tenaga, kejuruteraan dan industri.

    BRE merupakan usaha sama antara Rotary Engineering Pte Ltd dari Republik Singapura dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Dana Modal Pembangunan Strategik di bawah Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, dan YB Dato Seri Setia Dr. Haji Amin Liew dan tetamu lain semasa mengadakan lawatan.

    BRE ditubuhkan bagi memperkukuhkan lagi keupayaan Negara Brunei Darussalam dalam bidang kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), serta penyelenggaraan jangka panjang dan pembangunan tenaga kerja.

    Semasa lawatan kerja tersebut, Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong meninjau pejabat BRE dan diberikan taklimat mengenai projek-projek yang sedang berjalan serta projek-projek yang akan dating.

    Ini termasuk kerjasama di antara Syarikat BRE dengan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Brunei Fertilizer Industries (BFI) dan juga seterusnya membuat lawatan ke Loji BFI dan Taman Keselamatannya di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK).

    Syarikat BRE juga menekankan tumpuan syarikat terhadap latihan tenaga kerja tempatan, pemindahan teknologi dan pengetahuan, dan pertumbuhan industri yang mampan, selaras dengan matlamat pembangunan kedua-dua Negara.

    Pada bulan Mac tahun ini, BRE juga telah menandatangani Perjanjian Maintenance Outsourcing dengan BFI yang didedikasikan untuk memperkukuhkan lagi standard penyelenggaraan industri di Negara Brunei Darussalam, di mana BFI dan BRE bekerjasama bagi penyelenggaraan fasiliti Amonia dan Urea BFI, sekaligus meningkatkan kecekapan dan kelestarian serta pada masa yang sama mewujudkan lebih banyak peluang untuk belia tempatan melalui latihan dan bimbingan dalam penyelenggaraan industri.

    Tetamu diberikan taklimat mengenai peranan BRE semasa lawatan tersebut.

    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Rotary Engineering Pte Ltd dan juga Pengarah BRE, Koh Chun Peng, menjelaskan lawatan kerja tersebut mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh di antara Republik Singapura dan Negara Brunei Darussalam dalam membangunkan keupayaan industri yang berdaya tahan.

    “Melalui BRE, kami membina perhubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang boleh menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke sektor tenaga hiliran Negara Brunei Darussalam”.

    Katanya lagi, “BRE juga telah bekerjasama rapat dengan syarikat perkhidmatan tempatan dan juga tenaga kerja tempatan untuk membangunkan ekosistem tenaga yang dinamik”.

    Lawatan ini turut menekankan kekuatan hubungan ekonomi Brunei-Singapura berterusan yang berasaskan kepercayaan bersama dan kerjasama merentas sektor utama.

    BRE akan terus kekal komited untuk memperkukuhkan peranannya di Negara Brunei Darussalam serta memperluaskan lagi jangkauannya di rantau Borneo, dengan rancangan masa depan bagi meningkatkan kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan, memupuk bakat tempatan dan menyumbang kepada usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam.

    Gambar ramai rombongan di majlis itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda