Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Seramai 15 orang mantan Guru Kent Tuaran, Kota Kinabalu Malaysia Timur telah mengadakan lawatan ke Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE BM), baru-baru ini.
Kedatangan rombongan yang diketuai oleh Andrew bin Gedeon berkenaan telah dialu-alukan oleh Pengurus PKWE BM, Haji Mohd Yussof bin Mohd Salleh serta ahli-ahli PKWE yang lain.
Antara tujuan lawatan adalah untuk melihat lebih dekat lagi kegiatan yang dilaksanakan di pusat berkenaan seterusnya bertukar-tukar pandangan dan idea yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua belah pihak.
Lawatan turut dimeriahkan dengan persembahan daripada juara solo lelaki Bintang Keputeraan PKWE BM, Haji Yakub bin Haji Hitam diikuti dengan persembahan juara solo wanita, Hajah Norhani binti Haji Mohd Arsad.
Selain berpeluang menyaksikan persembahan dari PKWE BM, rombongan lawatan turut membuat persembahan sebagai persembahan balas tanda penghargaan rombongan kepada PKWE BM dan diikuti dengan persembahan bermukun.
