Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Tiga pegawai kanan dari Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini telah mengadakan lawatan pendidikan ke Thailand untuk memupuk kerjasama dan meneroka inisiatif inovatif dalam bidang pembelajaran sepanjang hayat.
Mereka terdiri daripada Pengarah C3L, Profesor Madya Jose Hernandez Santos; Timbalan Pengarah C3L, Dr Nik Ani Afiqah binti Haji Mohamad Tuah; dan Penolong Pendaftar C3L, Dayang Eni Suriati binti Haji Abdul Rahman.
Lawatan diadakan ke beberapa buah tempat termasuk Mahidol University yang membincangkan mengenai penyelidikan, persidangan bersama dan aktiviti akademik lain serta pertukaran idea dan pengalaman bagi meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat selain mengukuhkan kerjasama antara institut.
Ia diteruskan dengan lawatan ke Life-integrated Learning Center di kampus Salaya Mahidol University, melibatkan perbincangan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat, potensi kerjasama dan penerokaan peluang bersama untuk pertumbuhan.
Mereka kemudiannya melawat Bumrungrad International Hospital bagi memberi tumpuan kepada pengurusan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Bagi memperluaskan lagi kerjasama, para pegawai juga melawat PTT Asahi Chemical Company Ltd di Rayong dan berkongsi pengetahuan dan peluang penyelidikan yang berpotensi yang boleh memanfaatkan kedua-dua institusi.
Sementara itu, lawatan ke Thai Oil Company di Sriracha, Chonburi, tertumpu kepada menerokai klinik kejururawatan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
Para pelawat mengakhiri perjalanan mereka ke Princess Agrarajakumari College of Nursing, Chulabhorn Royal Academy di mana mereka membincangkan potensi kerjasama dan insiatif mengenai kemudahan dan sumber pembelajaran sepanjang hayat yang tersedia di institusi itu.
Lawatan itu mencerminkan komitmen C3L terhadap kerjasama antarabangsa dan kemajuan amalan pembelajaran sepanjang hayat.



