Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sembilan orang tenaga akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah membuat lawatan ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini, yang diketuai oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, dan Dekan Fakulti Usuluddin UNISSA, Profesor Dato’ Dr Mohammad Fakhrudin bin Haji Abdul Mokti.
Lawatan ilmiah itu merupakan salah satu inisiatif Fakulti Usuluddin (FU) untuk menimba pengalaman dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi kursus Al-Quran khususnya dan kursus-kursus Usuluddin di UNISSA umumnya.
Lawatan tersebut juga dapat memberi peluang kepada semua ahli rombongan berkenalan dalam meluaskan rangkaian perhubungan dengan pakar profesional dari institusi pengajian tinggi di luar negara, serta dapat memperkenalkan nama UNISSA kepada mereka.
Objektif program itu diadakan adalah untuk menimba pengalaman dan bertukar fikiran dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang program, khususnya bidang Al-Quran dan Usuluddin.
Di samping itu, ia juga bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara UNISSA dan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia yang telah ada jalinan memorandum persefahaman (MoU) atau memorandum perjanjian (MoA).
Di USIM, rombongan dibawa melawat ke Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) yang bertanggungjawab untuk menumpukan kajian, penyelidikan dan inovasi terhadap pengajian Islam OKU.
Pusat itu telah dijadikan sebagai bidang bitara (niche area) kepada FPQS. Pusat tersebut telah banyak menghasilkan bahan-bahan rujukan terutama Quran Braille dan Quran bagi OKU pekak.
Semasa lawatan ke UIAM, rombongan juga didedahkan penawaran kursus Al-Quran di mana universiti tersebut telah mewajibkan kursus Al-Quran kepada semua mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang agama mahupun bidang lainnya.
Menerusi lawatan tersebut nanti akan memberi pendedahan kepada warga FU untuk merancang dan menyusun strategi lebih baik dalam menyediakan dan mempersiapkan pelajar-pelajar UNISSA dalam bidang Al-Quran umumnya, dan pelajar FU khasnya dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam menyantuni pihak OKU.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P7-A_01082023.jpg)