SINGAPURA, 23 MEI – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, mengetuai istiadat upacara angkat sumpah Kabinet bagi penggal baharu pentadbiran negara itu di Istana pada Jumaat, susulan kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum pada 3 Mei.
Majlis itu disiarkan secara langsung di televisyen dan platform media sosial, dan bermula kira-kira 8 malam dengan nyanyian lagu kebangsaan Majulah Singapura, diikuti ucapan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Wong, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas yang disaksikan Presiden Tharman dan Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon.
Perdana Menteri kemudiannya menerima surat cara pelantikan daripada Presiden.
Turut mengangkat sumpah selepas itu ialah Menteri Kanan, Lee Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong, serta tiga Menteri Penyelaras.
Mereka ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan, Chan Chun Sing, serta Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung. – Bernama
