Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Mahkamah Majistret semalam telah memerintahkan seorang wanita Vietnam untuk menjelaskan denda $2,250 kerana menjalankan dan terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan menggunakan pas lawatan ke negara ini.
Nguyen Bich Ngoc, 36, perlu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Menurut Pendakwa Raya Atiyyah Abas, defendan telah ditahan pada 10:45 malam pada 11 April dari sebuah bilik hotel di Berakas di mana polis dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat CID menemuinya bersama seorang lelaki yang telah dipersetujuinya berkhidmat dengan bayaran $120.
Pihak polis telah menjalankan pengawasan dan bergerak ke sasaran untuk menangkap defendan pada masa yang tepat. Di samping itu, antara barangan berkaitan pelacuran yang ditemukan adalah telefon bimbit, wang tunai lebih $5,000 dan mata wang asing lain telah dirampas sebagai barangan bukti.
Siasatan mendapati defendan tiba di Brunei sehari sebelumnya dalam lawatan sosial dan telah menjalankan khidmatnya kepada lebih 20 lelaki untuk bayaran antara $90 hingga $200.
Selain itu, defendan juga mengakui bahawa walaupun tidak bertemu mereka, dia mendapat bantuan dua lelaki lain untuk menguruskan pelanggannya.
Majistret Nur Eleana binti DSP Haji Hairol Arni turut memerintahkan semua barang termasuk mata wang Brunei untuk dirampas, dan mengembalikan mata wang asing itu kepada defendan.


