Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Layanan buruk idola terpahat dalam hati

    Pelakon Malaysia, Hairul Azreen mendedahkan pernah berdepan kejadian memalukan apabila ditolak oleh seorang artis ketika mengajaknya bergambar sebelum dia bergelar selebriti.

    Memetik dari mStar, Hairul atau Hairul Azreen Idris, 34, mengimbau insiden itu dengan berkata, foto yang diambil bersama artis lelaki berkenaan tidak jelas sebelum permintaan mengambil semula gambar bersama ditolak.

    “Ada seorang artis ini, masa itu saya pakai telefon 6600 (Nokia). Saya cakap dengan dia nak begambar… Telefon itu pula jenis kalau ambil foto kena tunggu tiga saat.

    “Individu yang tolong ambil gambar kami pun tak peka dan rakam terlalu cepat sampai gambar kami jadi blur.

    “Jadi saya minta izin pada artis itu untuk mengambil sekali lagi gambar kami… Dia tolak saya,” katanya.

    Hairul berkongsi perkara itu ketika menjadi tetamu program Sembang Studio bersama pelakon Amelia Henderson.

    Susulan insiden itu, Hairul berazam jika dia bergelar artis, dia tidak akan pernah menolak permintaan peminat yang ingin bergambar dengannya.

    “Ini cerita betul… Dia tolak saya dan hati saya hancur kerana idola saya berkelakuan seperti itu.

    “Saya terus berniat, kalau saya jadi artis, saya tidak akan pernah menolak permintaan peminat,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Hairul yang enggan menyebut identiti sebenar lelaki itu berkata, artis tersebut kini cuba berbuat baik kepadanya selepas melihat dia berjaya menerusi filem-filem lakonannya.

    Kata Hairul, artis tersebut mungkin tidak mengingati insiden memalukan itu namun ia terpahat dihatinya sehingga ke hari ini.

    “Dia tak tahu yang saya ingat sampai sekarang dan saya pun tak pernah bercakap dengan dia (tentang insiden itu)… Sampai hari ini pun saya tak sebut nama dia.

    “Tapi apabila bertemu dan saya tengok dia, tidaklah saya beritahu dia pernah tolak saya… Tapi sekarang dia yang tegur saya,” katanya.

    Mengimbau kenangan sebelum bergelar pelakon, Hairul tidak malu mengakui dia pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai jam tangan yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bergelar pelakon.

    Kata Hairul, ketika itu juga dia sering terserempak dengan kelibat selebriti tempat yang dikerumuni peminat dan sejak itu dia berazam mahu menjadi seorang selebriti.

    “Saya sering lihat artis lalu nak pergi Langkawi, nampak Saiful Apek Senario, Afdlin Shauki.

    “Waktu itu saya rasa bestnya jadi artis… orang pandang. Saya terfikir kalau jadi artis kan best orang ambil gambar dengan saya.

    “Pada waktu itu saya sudah ada rasa minat untuk jadi artis, tapi saya tahu saya tidak layak kerana tidak boleh menyanyi,” katanya. – Agensi

    Hairul berkongsi kisah sedih sebelum bergelar pelakon. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda