Aku tak tahu sejak bila aku mula rasa begini kecil, tidak penting, seperti bayang-bayang di ruang menunggu klinik. Setiap kali aku melangkah masuk, membawa sakit yang aku sendiri sukar ungkapkan, aku disambut dengan wajah bosan, nada acuh tak acuh dan pandangan yang seolah-olah menilai sebelum aku sempat bersuara.
Aku pernah fikir mungkin aku terlalu sensitif. Tapi setelah beberapa kali melalui perkara yang sama, aku sedar bukan aku yang berlebihan. Pernah suatu hari aku menunggu hampir dua jam, hanya untuk diperiksa selama lima minit. Doktor bahkan tidak memandang wajahku lama hanya menulis sesuatu di komputer, bertanya dua tiga soalan dan mengakhiri dengan, “Okay, ambil ubat di kaunter.” Saat itu, aku terasa seperti nombor, bukan manusia.
Aku faham mereka sibuk. Setiap hari ratusan pesakit datang dengan pelbagai masalah. Tapi bukankah sedikit empati itu tak memerlukan masa yang lama? Sekadar senyum, atau bertanya dengan nada lembut, sudah cukup buat aku rasa dihargai. Bukan perhatian istimewa yang aku minta, hanya layanan yang manusiawi.
Yang paling menyakitkan ialah bila aku cuba jelaskan rasa sakit dengan jujur, tapi dibalas dengan pandangan skeptikal seolah-olah aku mengada-ngada. Mungkin kerana aku kelihatan ‘terlalu sihat’ di luar, jadi mereka anggap aku melebih-lebih. Tapi siapa tahu apa yang aku rasa di dalam?
Setiap kali keluar dari klinik, aku bukan hanya membawa pulang ubat, tapi juga rasa kecewa yang menyesakkan. Kadang-kadang aku tertanya, adakah aku akan terus datang bila aku benar-benar sakit nanti? Atau aku akan memilih untuk diam saja, kerana sudah terlalu letih merasa tidak dipeduli?
Rahman

NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Rahman yang sudi berkongsi dengan pembaca Media Permata.
Pada masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa bilangan pesakit secara umumnya telah menjadi semakin ramai. Ini juga dapat dirasakan di seluruh dunia. Ini bermaksud perkhidmatan kesihatan antaranya seperti apa yang Rahman lalui sudah pasti bertambah sesak dengan ramai orang menunggu mendapatkan rawatan.
Hal ini sememangnya mencetuskan tekanan kepada penyedia perkhidmatan dan tidak terkecuali golongan pesakit seperti Rahman. Namun ini tidak bermakna, layanan yang baik terhadap pesakit harus diketepikan. Hak mendapat rawatan bagi setiap pesakit tetap menjadi keutamaan.
Rasa kecil, tidak dilihat, dan tidak didengar, terutamanya apabila pesakit datang mencari bantuan tetapi disambut dengan dingin sudah pasti mengecewakan. Pengalaman seperti itu boleh menjejaskan keyakinan dan membuat seseorang pesakit ragu-ragu sama ada suaranya berhak untuk didengar.
Jika awda rasa pusat tersebut gagal memberi rawatan yang berkesan dan mengganggu kesejahteraan emosi awda, mungkin boleh cuba untuk mencari tempat atau doktor yang dapat memberikan pendekatan yang lebih berkesan. Ada kalanya, perasaan pesakit memerlukan layanan yang lebih daripada sekadar rawatan fizikal dan boleh membantu dalam merawat penyakit yang dihadapi.









