JOHOR BAHRU, 1 Mac – Siapa sangka layang-layang yang diperbuat daripada daun palas boleh bersaing di pentas antarabangsa Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG), Pasir Gudang di sini.
Selain mampu terbang tinggi, ia juga tahan lasak dan dapat bertahan dalam keadaan angin yang kuat selain kalis air.
Ia dihasilkan menggunakan dua helai daun palas yang dikeringkan sebelum diikat bersama batang buluh dan dibentuk menyerupai wau.
Penciptanya, Kadeka Armika, 39, yang berasal dari Bali, Indonesia berkata dia mengambil masa tiga jam bagi menyiapkan layang-layang daun palas berkenaan.
“Daun palas akan dileperkan menggunakan batu sehingga ia kering. Selepas kering, saya sapukan syelek dan cecair kalis air bagi memastikan ia keras dan dapat terbang dalam cuaca hujan.

“Untuk mengikat layang-layang ini, saya gunakan tali yang dibuat daripada buluh, yang dianyam untuk mengikat batang buluh dan daun berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, ini merupakan satu daripada cara yang dilakukannya dalam mempromosikan layang-layang yang diperbuat daripada bahan-bahan alam sekitar.
“Saya mempertandingkan tujuh layang-layang yang semuanya dibuat daripada bahan mesra alam. Ia juga ringan dan mudah dibawa ke mana-mana,” katanya.
Dia yang telah menyertai pertandingan ini selama tiga tahun memaklumkan bahawa festival ini telah menjadi sebahagian daripada kalendar aktiviti tahunan bersama keluarganya selain berpeluang berjumpa bersama pelayang antarabangsa.
“Saya suka datang ke Pasir Gudang kerana cuaca dan suasananya. Penduduk di sini juga mesra dan saya juga berpeluang untuk mendapat kenalan pelayang-pelayang antarabangsa,” tambahnya.
Sementara itu, pelayang dari Australia, Malcolm Hubbert, 66, berkata tahun ini, dia mempertaruhkan layang-layang berbentuk naga bagi menarik perhatian juri.
“Saya ada layang-layang sotong kurita dan paus yang berwarna biru, jadi pada tahun ini saya bawa sedikit kelainan iaitu naga berwarna merah kerana ia dapat menarik perhatian orang ramai dan juri pertandingan selain kanak-kanak,” katanya. – Bernama