Nama Layla Sania Khairuzikri (gambar) barangkali masih asing buat sesetengah peminat industri seni.
Apa yang SinarPlus boleh simpulkan, selebriti muda itu berbakat dan mempunyai kelebihan tersendiri.
Tidak dapat hadir ke FFM32 lantaran terlibat dengan penggambaran, Layla mengakui terkejut apabila mengalahkan nama besar lain seperti Amelia Handerson dan Alicia Amin yang tercalon dalam kategori sama.
Ujar beliau, ketika diumumkan sebagai pemenang, dirinya sedang menjayakan babak dalam drama terbaharu.
“Pelik juga bila melihat umi (ibu) melompat-lompat ketika itu. Sebaik selesai, umi maklumkan yang saya menang, tetapi saya agak terpinga-pinga.
“Bila sudah boleh ‘hadam‘, barulah saya menangis ter-esak-esak sebab tidak sangka juri akan memilih saya,“ ujarnya ketika ditemui di pejabat Lomo Pictures Sdn Bhd, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Menjadikan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat, pelakon yang fasih berbahasa Mandarin itu tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan.
“Saya mahu buktikan bahawa saya berhak memenangi anugerah itu kerana ia dilakukan atas usaha saya sendiri.
“Ya, saya sedar selepas ini, pasti akan lebih banyak mata yang akan memerhati saya,“ katanya.
Bercerita lanjut, Layla yang juga seorang penyanyi berkata, beliau sudah berjinak-jinak dalam bidang seni seawal usia tujuh tahun lagi.
Memulakan penglibatan dalam dunia nyanyian terlebih dulu, selebriti itu kemudian diberi peluang berlakon dalam telefilem Cucu Tok Aki dan drama Bangkitnya Seorang Perempuan.
Kebolehannya berbahasa Mandarin dengan baik juga telah mendorong Layla muncul dengan single pertama dalam bahasa itu bertajuk By Your Side.
Selain itu, peminat setia Amy Winehouse, Ariana Grande dan Duffy itu bakal muncul dengan sebuah drama bersiri yang masih dirahsiakan judulnya.
Dalam pada itu, berkongsi sisi lain kehidupan, Layla berkata, beliau sebenarnya sedang menjalani latihan industri sebagai guru tadika bagi melengkapkan pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Meskipun sibuk di lapangan seni, Layla menyimpan impian untuk menjadi guru tadika dan membuka sebuah pusat asuhan sendiri pada suatu hari nanti. – Agensi