Lazio bangkit tewaskan Cagliari

ROM, 17 DIS – Lazio meledak dua kali dalam masa kecederaan untuk kemenangan 2-1 ke atas Cagliari pada saingan Serie A.

Ia adalah kemenangan kelapan berturut-turut Lazio yang sepanjang permainan ketinggalan 1-0 di belakang Cagliari.

Giovanni Simeone membuka jaringan untuk Cagliari pada minit kesembilan hasil rembatan voli dari sebelah kiri.

Lazio mula mengatur gerakan tetapi Cagliari berjaya mengekalkan kelebihan sehingga masuk minit kedua masa kecederaan, di mana Luis Alberto menyamakan kedudukan juga menerusi rembatan voli dari luar kotak.

Di saat-saat terakhir aksi antara dua pasukan yang menghuni tangga ketiga dan keempat liga itu, Felipe Caicedo menanduk masuk gol kemenangan Lazio pada minit ketujuh masa kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan Lazio hanya tiga mata di belakang pendahulu, Inter Milan dan Juventus di tangga kedua.

Lazio melebarkan jurang kepada empat mata ke atas tetangganya Roma dan Cagliari tergelincir ke tangga kelima, tujuh mata di belakang Lazio selepas kekalahan pertama mereka sejak minggu kedua musim ini. – AFP

Pemain Lazio, Lucas Leiva (tengah) merebut bola bersama dua pemain lawan semasa perlawanan di antara Cagliari Calcio dan SS Lazio di Stadium Sardegna Arena, Cagliari, Itali pada 16 Disember. – AP